WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelepasan Cukai Khas Langkah Tepat Rancak Sektor Pelancongan Domestik

11/10/2025 07:42 PM

MELAKA, 11 Okt (Bernama) -- Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 antara inisiatif tepat bagi merancakkan semula sektor pelancongan domestik, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata pelepasan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, bahkan turut menyuntik ekonomi kepada penggiat industri pelancongan termasuk pengusaha hotel, ejen pelancongan, kraf tangan dan peniaga kecil.

“Pelbagai promosi dan pakej pelancongan menarik akan disediakan bagi menggalakkan lebih banyak rakyat memilih Melaka sebagai destinasi utama percutian domestik.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan kerajaan, agensi pelancongan dan pemain industri untuk menyediakan pelbagai pakej promosi menarik bagi memastikan rakyat Melaka benar-benar memanfaatkan insentif ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' di Dewan Rakyat mengumumkan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan diberi potongan cukai sehingga RM500,000 atas perbelanjaan layak yang dilakukan selain pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia kepada syarikat pengendali pelancongan.

Beliau berkata syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Selain itu, syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing juga diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan