WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026: KDN Akan Perkukuh Aset Keselamatan, Naik Taraf Kemudahan

10/10/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan kepada RM21.2 bilion bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dimanfaatkan untuk memperkukuh aset keselamatan serta menaik taraf kemudahan pasukan beruniform di bawah kementerian itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan tersebut, yang meningkat berbanding RM19.5 bilion pada tahun ini juga akan digunakan bagi mempertingkatkan kawalan sempadan serta memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman siber dan jenayah digital.

“Kebajikan anggota beruniform turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution menegaskan KDN komited untuk terus menggalas amanah dengan penuh dedikasi demi memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan berkata peruntukan berkenaan bakal memberikan impak positif terhadap kebajikan, prasarana dan kecekapan perkhidmatan polis dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan memastikan setiap sen yang diperuntukkan dimanfaatkan secara optimum demi memperkukuh sistem keselamatan negara serta menjamin kesejahteraan rakyat.

“Sebagai institusi penguatkuasaan utama negara, PDRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diterima dengan penuh amanah, integriti dan disiplin kewangan yang tinggi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan KDN menerima RM21.2 bilion dengan keutamaan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara melalui beberapa inisiatif utama.

Ini termasuk peruntukan RM1 bilion bagi perolehan baharu 100 kenderaan pacuan empat roda (pickup 4x4) untuk risikan dan operasi PDRM, empat bot peronda laju untuk Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah pesawat rondaan maritim untuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Selain itu, peruntukan melebihi RM1.5 bilion  disediakan bagi membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform antaranya Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan; Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik di Perak; Pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan PPM Labuan serta Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan