WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Rakam Penghargaan Kepada Turkiye Bantu Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Israel

10/10/2025 11:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang membantu mempermudah urusan membawa sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition - Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) keluar dari Israel.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, sembilan lagi wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Turkiye," katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau berkata jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).

Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan