KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan perpaduan rakyat sebagai tiang utama pembinaan negara bangsa dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang menekankan nilai keharmonian, identiti nasional dan semangat kekeluargaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu hidup tanpa rasa takut dan terancam, justeru percikan api kebencian yang boleh menggugat keharmonian masyarakat mesti segera dipadam bagi memastikan kesejahteraan bersama terus terpelihara.
"Dalam usaha mengukuhkan tradisi, kesenian, tatasusila serta perpaduan nasional ke arah peradaban negara bangsa, dua modul baharu, iaitu Falsafah dan Cabaran Semasa serta Aspirasi Negara Bangsa diwajibkan mulai 2026 di Institut Pendidikan Tinggi dan selanjutnya diperluas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan pelbagai program perpaduan dan pembinaan identiti nasional seperti Minggu Perpaduan, Harmoni MADANI dan Citra Nusa Muzium, termasuk aktiviti bermalam di muzium bagi menarik penyertaan generasi muda.
Beliau berkata tiga Pusat Aktiviti Perpaduan baharu akan dibina dengan kos RM46 juta, melibatkan Kompleks Perpaduan Bukit Besar di Kuala Terengganu serta Pusat Aktiviti Perpaduan di Bandar Seri Iskandar, Perak dan di Miri, Sarawak.
Menyentuh aspek sukan sebagai wadah membina semangat kebangsaan, kerajaan menyediakan geran padanan berjumlah RM30 juta bagi menyokong persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan aktiviti sukan rakyat yang mampu memupuk semangat kekitaan dan perpaduan.
Selain itu, Anwar berkata RM55 juta diperuntukkan untuk memperkukuh peranan Rukun Tetangga MADANI sebagai jambatan komuniti yang menggerakkan aktiviti kekeluargaan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Dalam masa sama, semangat kesukarelawanan terus dipupuk melalui Program Jiwa Murni MADANI, yang menerima peningkatan peruntukan kepada RM20 juta, susulan penglibatan anggota tentera darat yang turun ke lapangan membantu masyarakat termasuk kerja memasang Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Air Punggai, Alor Gajah di Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial