WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026 Perlihat Komitmen Kerajaan Perkukuh Keupayaan Maritim Malaysia

10/10/2025 09:03 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 yang diumumkan hari ini memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi beberapa inisiatif penting.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata di bawah Belanjawan 2026, hampir RM1 bilion diperuntukkan, dengan empat inisiatif bagi memperkukuhkan keupayaan armada dan infrastruktur utama agensi berkenaan.

“Antara inisiatif yang diumumkan termasuk perolehan sebuah pesawat udara Pesawat Pengawasan Maritim (MSA), pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali dan pembinaan Kompleks Zon Maritim Kudat di Sabah.

“Inisiatif pembaharuan Kompleks Bersepadu Zon Maritim Labuan dan Pasukan Polis Marin Labuan turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan serta moral setiap anggota agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan semangat dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat adalah kesinambungan penting kepada inisiatif yang diumumkan pada Belanjawan 2025.

“Kesinambungan sokongan daripada Belanjawan 2025 ke Belanjawan 2026 jelas menunjukkan Kerajaan MADANI sentiasa memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan perairan negara. 

“Dengan sokongan teguh ini, Maritim Malaysia yakin dapat memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan dalam mengekang aktiviti pencerobohan, penyeludupan, penangkapan ikan secara haram serta pelbagai lagi ancaman jenayah maritim yang lain,” katanya. 

Tahun lepas, Mohd Rosli berkata kerajaan telah memberi tumpuan kepada cadangan Maritim Malaysia bagi penyelenggaraan enam buah kapal melalui Program Pelanjutan Hayat Kapal, perolehan sebuah kapal misi pelbagai guna, dua buah kapal peronda generasi baharu, penyediaan dana untuk menerima sebuah kapal peronda Coast Guard Cutter dari Amerika Syarikat, serta terdahulu menerusi perolehan empat pesawat udara helikopter kategori super-medium AW189. 

“Semua inisiatif ini sedang giat dilaksanakan dan hasilnya sudah mula memperlihatkan peningkatan keupayaan Maritim Malaysia di lapangan,” katanya.

Beliau berkata Maritim Malaysia dan warganya berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam merealisasikan agenda Belanjawan MADANI yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keselamatan negara serta pembangunan yang berdaya tahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan