WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Pupuk Firma Utama Teknologi Jadi MNC ASEAN - Liew Chin Tong

29/07/2025 01:05 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu berusaha memupuk lebih banyak syarikat dipacu teknologi yang dapat berkembang menjadi syarikat multinasional (MNC) berpangkalan di ASEAN dan akhirnya mewujudkan operasi global, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata walaupun sering diperkatakan mengenai sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) namun hakikatnya, lebih banyak usaha diperlukan untuk membangunkan juara tempatan dan membentuk MNC berasaskan teknologi di rantau ini.

“Kita sering bercakap mengenai membantu PKS namun, dari segi amalan sebenar, kita juga membantu MNC asing. Wujud jurang yang tidak kita isi -- kita tidak cukup berusaha untuk mewujudkan MNC Malaysia dan MNC ASEAN yang berasaskan teknologi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SIDC-CASI 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata pasaran modal perlu mula melihat masa depan syarikat Malaysia dan peranannya dari sudut pandangan yang baharu.

“Sudah sampai masanya kita berani untuk membentuk pasaran modal dan rantau ini, jika tidak dunia, dengan idea baharu, iaitu idea yang akan mewujudkan ekonomi mampan dan masyarakat dengan rakyat yang makmur dan sejahtera -- satu bentuk masyarakat MADANI,” katanya.

Liew berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada Amerika Syarikat sebagai pengguna utama, dan oleh itu perlu mempelbagaikan pasaran eksport.

Beliau berkata bagaimanapun, kepelbagaian pasaran sahaja tidak mencukupi jika negara-negara lain tidak cukup makmur untuk membeli barangan dari Malaysia.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dan Capacity-building Alliance of Sustainable Investment (CASI).

Acara tersebut menghimpunkan lebih 300 perwakilan tempatan dan antarabangsa serta mengangkat tema “Shaping the Future of ASEAN Business in Sustainability”.

Antara tumpuan pada acara itu ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SIDC dan CASI, yang memformalkan kerjasama jangka panjang untuk memajukan pendidikan kewangan mampan dan pembangunan bakat di seluruh ASEAN serta rantau yang sedang membangun lain.

Dalam kenyataan, SIDC menjelaskan MoU itu menggariskan rangka kerja strategik bagi kerjasama akademik dan profesional, dengan tumpuan kepada bidang yang memberi manfaat bersama dan membolehkan inisiatif bersama pada masa depan untuk menyokong pembangunan kapasiti dalam kewangan mampan, terutama dalam pasaran sedang pesat membangun.

Sempena persidangan itu, SIDC turut melancarkan program Profesional Pasaran Modal yang Diperakui dalam Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab 2 (CCMP-SRI 2), iaitu program pensijilan lanjutan selama 12 minggu untuk profesional peringkat pertengahan hingga kanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan