KAPIT, 28 Julai (Bernama) -- Semua pihak diseru untuk mengamalkan semangat “Segulai Sejalai” atau bekerjasama dalam satu pasukan bagi memastikan Bahagian Kapit terus maju dan makmur setanding dengan bahagian lain di Sarawak.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengalaman lepas sewajarnya dijadikan pengajaran apabila ketidaksepakatan politik pernah menjejaskan usaha pembangunan di kawasan itu.
"Ketika itu politik tidak bersatu, maka banyak pembangunan tergendala dan sukar dilaksanakan, tetapi apabila semua pemimpin kini berada di bawah satu bumbung menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta wakil rakyat bekerjasama dengan baik, hasilnya sangat memberangsangkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Bahagian Kapit di sini malam tadi.
Nanta berkata kestabilan politik yang dicapai membolehkan pelaksanaan dasar dan rancangan pembangunan dilaksana dengan lebih berkesan menerusi kerjasama rapat antara jabatan kerajaan, agensi pelaksana, serta sokongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Kalau dahulu, ada masanya tumpuan lebih diberikan kepada sektor perindustrian dan bukan luar bandar, di samping peruntukan pembangunan yang kecil. Namun kini, Kapit menjadi kawasan yang dicemburui kerana kerjasama erat semua pihak,” katanya.
Nanta berkata rentak kerjasama sedia ada harus diteruskan demi memastikan pembangunan yang dinikmati kini dapat diperluaskan ke seluruh pelosok Kapit.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang telah bersara dan yang berpindah ke tempat kerja baharu.
“Kepada mereka yang bersara, terima kasih atas khidmat cemerlang dan kepada yang berpindah, bawalah imej positif Kapit ke mana sahaja anda ditugaskan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial