WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Festival Life Moves 2025 SMC Tingkat Kesedaran Mengenai NCD

28/07/2025 10:12 AM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC), Selangor akan menganjurkan acara tahunan kesihatan dan kesejahteraannya iaitu Festival Lives Moves 2025 di Lobi Menara D hospital tersebut pada 3 Ogos.

SMC dalam satu kenyataan memaklumkan festival sehari itu yang terbuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 4 petang itu, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, kanser dan penyakit jantung, selain menggalakkan pengesanan awal serta amalan gaya hidup yang lebih sihat.

Dengan tema “Setia Gerakan Bemakna, Setiap Langkah Penting dalam mengatasi NCD”, festival itu akan menampilkan penjagaan kesihatan pencegahan melalui gabungan pameran interaktif, saringan percuma dan aktiviti mesra keluarga yang menarik.

“Pengunjung festival boleh menikmati pelbagai pemeriksaan kesihatan asas secara percuma, termasuk ujian glukosa darah, analisis komposisi badan dan ujian air kencing.

“Saringan ini bertujuan untuk membantu para pengunjung mengetahui tahap kesihatan semasa mereka serta menggalakkan rundingan susulan jika perlu,” katanya.

Menurut kenyataan itu antara aktiviti utama dalam festival tersebut ialah “Jantungku”, Walkthrough Heart Exhibit yang menawarkan pandangan dekat struktur jantung manusia, membolehkan pengunjung memahami dengan lebih baik bagaimana kesihatan kardiovaskular dipengaruhi  pilihan gaya hidup harian.

“Selain saringan dan pameran, festival ini juga menjanjikan hari yang penuh keriangan dan penemuan. Stesen permainan dan kuiz akan memberi peluang kepada semua peringkat umur mempelajari mengenai gaya hidup sihat.

“Pengunjung juga boleh meneroka Health Marketplace, yang menampilkan jenama kesejahteraan, produk berasaskan kesihatan serta pilihan makanan berkhasiat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan SMC itu memaklum bahawa Festival Life Moves itu sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya, dalam menyokong matlamat kesihatan awam negara, selain mencerminkan usaha hospital menggalakkan keputusan kesihatan yang lebih bijak dan perubahan tingkah laku yang berkekalan menerusi pendidikan serta penglibatan komuniti yang berterusan.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam kecemerlangan klinikal, SMC telah dinobatkan sebagai hospital terbaik di Malaysia dan tersenarai sebagai antara 250 hospital terbaik dunia oleh Newsweek’s World’s Best Hospitals bagi tahun 2024 dan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan