WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penurunan Harga Petrol Beri Impak Besar Jana Ekonomi Penduduk Sabah

27/07/2025 03:47 PM

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dijangka memberi impak positif signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di Sabah.

Penjawat awam Ampuan Suhaini Ampuan Kassim, 51, berkata langkah proaktif kerajaan itu adalah  keputusan berani yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi rakyat.

Beliau yang sering berulang-alik dari Papar ke Kota Kinabalu berkata penurunan harga minyak sangat memberi manfaat terutamanya kepada penduduk luar bandar yang bergantung kepada pengangkutan persendirian.

"Kenaikan harga RON95 sebelum ini telah memberi kesan ketara kepada harga barangan dan perkhidmatan walaupun di bawah kawalan kerajaan," katanya kepada Bernama.

Ampuan Suhaini berkata pengumuman berkenaan turut membuktikan komitmen Perdana Menteri dalam memenuhi janjinya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan pada Rabu lepas hanya untuk rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan harga berdasarkan kadar pasaran semasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata langkah tersebut penting bagi memastikan subsidi kerajaan yang besar hanya dinikmati oleh rakyat tempatan, sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan keadilan sosial.

Sementara itu, pesara tentera Armendas Keratas, 56, berkata walaupun harga RON95 diturunkan sebanyak enam sen, namun ia membawa makna yang besar kepada rakyat Sabah.

Beliau pada masa sama turut menghargai keputusan kerajaan mengisytiharkan cuti khas sempena Hari Malaysia pada 15 Sept ini. 

"Bagi mereka yang bekerja, hari cuti tambahan sangat berharga," katanya.

Penduduk Kampung Sokud Vogu Limbahau, Papar Janet P. Baidin, 39, berkata penurunan harga minyak mampu meringankan beban kewangan terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk aktiviti harian.

"Langkah ini dapat membantu menstabilkan kewangan rakyat yang sebelum ini berhadapan dengan kesempitan hidup.

"Sebagai ibu bapa, bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga sangat membantu meringankan beban kewangan kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan