KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pendekatan Kerajaan MADANI yang membenarkan perhimpunan aman tanpa gangguan mahupun kekerasan mencerminkan komitmen kukuh terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Adam Adli Abd Halim berkata tindakan kerajaan yang menghormati hak berhimpun itu bukan satu bentuk kelemahan pentadbiran, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebenar demokrasi yang semakin matang di Malaysia.
Beliau berkata malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas peranan penting mereka dalam memastikan kelancaran perhimpunan aman berkenaan.
“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita dengan mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.
“Cita-cita MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil tetapi juga hak kehidupan rakyat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan hari ini.
Adam Adli berkata kerajaan juga melihat perhimpunan itu bukan sebagai ancaman tetapi lambang perubahan budaya politik dengan meraikan segala perbezaan pandangan.
“Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang, kedua-duanya penting dan wajar dilindungi. Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi,” katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama, pelbagai usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, serta pelaksanaan reformasi dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan membuktikan komitmen berterusan kepimpinan negara terhadap kesejahteraan rakyat.
Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata perhimpunan di ibu negara berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam dengan dihadiri kira-kira 18,000 orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial