MUAR, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan baru-baru ini, khas untuk rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan harga pasaran semasa.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan subsidi kerajaan yang besar hanya dinikmati oleh rakyat tempatan, selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan keadilan sosial.
“Minyak petrol RON95 untuk rakyat Malaysia, kita jual RM1.99. Tetapi, untuk warga asing dan pelancong termasuk dari Singapura, mereka akan bayar harga pasaran, RM2.50 atau RM2.60 seliter. Ini bukan diskriminasi, tetapi dasar negara berdaulat yang menjaga rakyatnya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.
Anwar berkata penyasaran subsidi petrol ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan negara yang selama ini turut dinikmati oleh warga asing yang tidak membayar cukai atau menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.
Beliau turut menyelar kenyataan seorang pemimpin pembangkang dari Johor yang didakwa mengecam tindakannya memberikan subsidi berkenaan hanya untuk rakyat Malaysia.
“Ada pemimpin pembangkang tanya kenapa warga asing kena bayar lebih? Saya tidak faham. Saya Perdana Menteri Malaysia.
“Orang asing tak bayar cukai pun macam rakyat. Di negara mana orang asing dapat subsidi macam warga sendiri? Tanggungjawab saya pertama ialah jaga rakyat Malaysia,” kata Anwar.
Beliau berkata kerajaan tidak menaikkan harga minyak sesuka hati, malah harga di Malaysia kekal antara terendah di rantau ini meskipun berdepan tekanan fiskal.
“Kalau tidak percaya, pergi tengok harga minyak di Singapura, Thailand, Indonesia semua jauh lebih tinggi. Kita masih mampu beri RM1.99 kepada rakyat. Itu tanggungjawab saya,” kata beliau.
Anwar berkata penjimatan hasil rasionalisasi subsidi akan digunakan untuk memperkukuh program kebajikan, pembangunan luar bandar serta mempertingkatkan gaji minimum secara berperingkat, termasuk sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial