MELAKA, 26 Julai (Bernama) -- Komuniti MADANI di seluruh negara akan menerima maklumat terperinci berkaitan sesuatu pengumuman dalam tempoh 24 jam selepas ia diumumkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata langkah itu diambil, bagi menyampaikan maklumat tepat terus kepada akar umbi di sesuatu kawasan.
“Untuk perkara-perkara teknikal mungkin sukar, tapi kita nak Komuniti MADANI dapat penjelasan paling mudah,” katanya pada Permukiman Komuniti MADANI Semenanjung 2025 sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh di sini malam ini.
Permukiman yang dihadiri kira-kira 2,306 peserta daripada 1,406 Komuniti MADANI itu, turut disertai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata antara pengumuman besar yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ialah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai.
Beliau berkata pembentangan RMK13 selalunya melibatkan perkara-perkara teknikal secara terperinci berkaitan pembangunan fizikal negara seperti pembinaan hospital, sekolah dan sebagainya.
“Tapi dalam tempoh 24 jam Komuniti MADANI dapat perincian dan penjelasan mudah, supaya dapat diceritakan dalam bentuk yang mudah kepada komuniti masing-masing.
“Jadi ini akan jadi satu pembaharuan sebab saya nak Komuniti MADANI cepat faham, cepat tangkap (sebarang pengumuman kerajaan),” katanya.
Mengulas mengenai perhimpunan di ibu negara hari ini, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Fahmi berkata untuk menukar seseorang Perdana Menteri, usul undi tidak percaya perlu dibawa ke Parlimen ataupun melalui pilihan raya umum.
“Sebelum ini Perdana Menteri dah cakap (kepada pembangkang) untuk bawa usul undi tak percaya, tapi sampai hari ini usul tak dikemukakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial