KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- AirAsia Malaysia melancarkan dua laluan baharu dari Kuala Lumpur dan Kuching ke Pontianak, Indonesia, bermula 12 September 2025, sekali gus menjadi satu-satunya syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi di ibu negeri Kalimantan Barat, Indonesia, itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pengembangan laluan tersebut adalah susulan pertumbuhan pesat operasi AirAsia di Indonesia, termasuk pelancaran laluan Kuala Lumpur–Palembang pada Julai dan perkhidmatan Kuala Lumpur–Semarang bermula September ini.
“Dengan pengenalan laluan Pontianak, AirAsia Malaysia kini menghubungkan ke 17 destinasi di Indonesia menerusi 223 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian paling luas yang beroperasi ke Indonesia,” katanya.
Pelancaran laluan baharu ini turut memperkukuh hubungan serantau serta menyokong sasaran kedua-dua kerajaan, termasuk usaha Malaysia menarik 4.3 juta pelancong dari Indonesia pada 2025 dan sasaran ketibaan lima juta pelawat ke Sarawak menjelang akhir tahun.
Langkah itu juga dijangka menyumbang kepada matlamat Indonesia untuk mencapai 16 juta ketibaan pelancong antarabangsa, dengan Malaysia kekal sebagai satu daripada pasaran penyumbang utama, kata kenyataan itu lagi.
Laluan baharu tersebut diumumkan semasa Pesta Pelancongan Sarawak yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak di Pontianak, dan dirasmikan oleh Gabenor Kalimantan Barat Drs Ria Norsan.
Beliau berkata laluan penerbangan terus ini bukan sahaja memudahkan pergerakan pelancong, malah akan merangsang aliran perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua wilayah.
“Kalimantan Barat bersedia menerima lebih ramai pengunjung dari Malaysia, di samping menyediakan akses mudah untuk rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan peluang perniagaan, melancong dan mendapatkan perkhidmatan perubatan di Sarawak dan Kuala Lumpur,” katanya.
Konsul Malaysia di Pontianak Azizul Zekri Abd Rahim berkata laluan baharu ini merupakan detik penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya Kalimantan Barat.
“Sehubungan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, pengumuman ini hadir pada masa yang tepat untuk memperkukuh sektor pelancongan, memupuk pertukaran budaya dan hubungan serantau antara kedua-dua negara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penerbangan antara Malaysia dan Kalimantan Barat menjadi pemacu kepada usaha syarikat meningkatkan rangkaian ketersambungan bagi memudahkan perjalanan untuk tujuan perniagaan, pelancongan dan rawatan perubatan.
“Dengan pelancaran penerbangan dari hab utama kami di Kuala Lumpur dan Kuching, kami menyediakan lebih banyak kemudahan dan fleksibiliti buat para penumpang, di samping menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan dan pembangunan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial