WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 50 Peratus Kes Dadah Di Perak Libatkan Golongan Muda - PEMADAM

26/07/2025 11:47 AM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Sebanyak 7,488 atau 51.5 peratus kes penyalahgunaan dadah direkodkan di Perak sepanjang tahun lepas membabitkan golongan muda berusia 15 hingga 39 tahun.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak Mohd Azlan Helmi berkata angka itu membimbangkan dan usaha untuk membanteras gejala tidak bermoral ini perlu dilakukan hingga ke peringkat akar umbi.

“Jumlah keseluruhan kes dadah yang dicatatkan di Perak sepanjang tahun lepas adalah 14,534 kes dan jika dilihat, lebih separuh daripada jumlah itu membabitkan golongan belia.

“Bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa khususnya membabitkan belia, semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan peranan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Mini Karnival PEMADAM serta pelepasan Larian dan Explorace PEMADAM Perak 2025 di Padang Polo, di sini hari ini.

Karnival melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu turut melibatkan penyertaan lebih 1,500 individu.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata PEMADAM telah melantik 150 individu dalam kalangan pelajar sebagai sukarelawan yang berperanan mengekang penularan gejala itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Anak muda ini datang secara sukarela. Mereka kini menjadi ejen kesedaran PEMADAM di kampus masing-masing dan kita harap mereka boleh menyampaikan mesej tentang bahaya dadah dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah melancarkan laman sesawang rasmi yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat serta menyertai badan itu sebagai sukarelawan secara dalam talian dengan semua golongan dipelawa memberi sumbangan dalam menangani masalah dadah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan