WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Duta Besar Malaysia Ke AS Yang Baharu Ikrar Perkukuh Hubungan Dua Hala

26/07/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) – Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–AS semasa majlis penyerahan watikah pelantikan kepada Presiden Donald J. Trump di Rumah Putih. 

Dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu, Kedutaan Malaysia di Washington DC memaklumkan bahawa Muhammad Shahrul Ikram menyerahkan watikah pelantikannya kepada Trump semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan di White House pada 24 Julai.

"Dalam majlis itu, Muhammad Shahrul Ikram berpeluang bertukar-tukar ucapan mesra secara ringkas dengan Presiden Trump dan menyampaikan komitmennya untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat.

"Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden atas penyertaan Setiausaha Negara Marco Rubio dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai, menegaskan lagi komitmen AS terhadap rantau ini serta pengukuhan Perkongsian Komprehensif Malaysia–AS," menurut kenyataan kedutaan itu.

Sepanjang lebih enam dekad sejak 1957, hubungan Malaysia–AS telah berkembang menjadi kerjasama pelbagai dimensi merangkumi bidang politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

Muhammad Shahrul Ikram merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan diplomat berpengalaman dengan lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau merupakan anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi daripada Universiti Malaya dan pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School pada 2009.

Beliau memulakan kerjaya di Kementerian Luar Negeri pada 1988 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar dan Austria serta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Tugas diplomatik lain termasuk perwakilan Malaysia di Vienna, Washington DC dan Beijing.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015), dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan