Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
ESSEN (Jerman), 25 Julai (Bernama) -- Harapan Malaysia untuk mencuri sebutir pingat dalam acara memanah pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 tidak kesampaian selepas trio recurve berpasukan wanita negara tewas dalam aksi penentuan gangsa di Zeche Zollverein di sini hari ini.
Trio negara dibarisi Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Alia Qursyiah Mazlan bergelut untuk melakukan panahan terbaik ketika tumpas 1-5 di tangan Huang Yuwei, Liu Yanxiu dan Wu Zihan dari China.
Pingat emas dimenangi Jepun diwakili Nanami Asakuno, Waka Sonoda dan Ruka Uehara yang berada dalam kelas tersendiri ketika menewaskan Fong You Jhu, Kuo Tzu Ying dan Li Cai Xuan dari Taiwan 6-2.
“Ini satu pendedahan dan pengalaman. Walaupun kurang baik sekurang-kurangnya kami sudah cuba yang terbaik,” kata Syaqiera yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ditemui di sini.
Pada masa sama, Ariana yang turut beraksi di Paris 2024 berkata: “Kami telah lakukan yang terbaik dan kami tahu apa yang kena betulkan balik nanti. Walaupun kali ini memang ada sasaran untuk menang tapi sebab pendedahan untuk kejohanan macam ini belum cukup, tak mustahil boleh menang tapi peluang tipis,” katanya.
Sebagai rekod, pencapaian Syaqiera, Ariana dan Alia mara ke separuh akhir adalah pencapaian kali pertama bagi kem memanah di WUG selepas sering terkandas di suku akhir pada edisi terdahulu.
Zeche Zollverein merupakan bekas kompleks lombong arang batu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial