WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mesej Whatsapp 'Lantaklah Nak Hidup Ke Nak Mati' Tidak Merujuk Kepada Zayn Rayyan - Ismanira

24/07/2025 06:29 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa mesej perbualan WhatsApp yang menyatakan 'lantaklah nak hidup ke nak mati' tidak merujuk kepada anak sulungnya itu tetapi kepada diri sendiri.

Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata mesej itu dihantar kepada suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, kerana dia berada dalam keadaan cemas dan kelam-kabut semasa mencari Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai ketika kanak-kanak tersebut hilang pada 5 Dis 2023.

"Kandungan di hashtag (#) lapan tersebut (merujuk perbualan WhatsApp), saya tidak maksudkan ke atas anak saya. Pada hari tersebut, dalam keadaan saya cemas, kelam-kabut dan sedih mencari anak saya yang hilang, saya sangat perlukan perhatian suami saya.

"Saya hantar perkataan begitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya. Perkataan tersebut saya maksudkan ke atas diri saya," katanya ketika menjawab soalan tambahan peguam Haresh Mahadevan pada hari keempat prosiding membela diri dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang berusia enam tahun itu.

Pada 7 April lepas, saksi pendakwaan ke-25 iaitu Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 43, memberitahu mahkamah terdapat beberapa mesej di WhatsApp daripada nombor telefon bimbit milik dua individu yang berkaitan dengan Zayn Rayyan. 

Mohd Zaidi berkata dua telefon bimbit telah dirampas semasa siasatan dan satu daripadanya ialah jenama iPhone menggunakan iCloud yang didaftarkan atas nama Ismanira manakala telefon Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan.

Saksi itu berkata tertera perbualan WhatsApp iaitu 'lantaklah nak hidup ke nak mati' dan mesej itu dihantar sekitar 12 tengah hari 5 Dis 2023.

Rakan baik Ismanira iaitu Umi Syafiqah Rohizal, 30, pula memberitahu mahkamah beliau tidak pernah melihat wanita itu membiarkan kedua-dua anaknya bersendirian di taman permainan dan kawasan kediaman mereka.

Saksi pembelaan keempat itu berkata beliau ada melihat Ismanira memegang tangan anak-anaknya semasa menuruni Blok R menuju tempat parkir motosikal yang terletak di antara Blok R dan Blok S.

Umi Syafiqah, yang tinggal di apartmen tersebut dari 2019 hingga 2024, berkata pasangan suami isteri itu juga tidak pernah mencederakan, mendera atau mengabaikan anak-anak mereka.

Mengenali Ismanira sejak sekolah rendah, beliau menyifatkan rakannya itu seorang yang lemah lembut dan penyayang.

"Saya adalah kawan rapat (Ismanira) di sekolah rendah dari darjah tiga hingga sekarang dan mengenalinya selama 21 tahun... tamat sekolah rendah, saya menyambung pelajaran di Perak dan kembali (menetap) di Damansara Damai," kata Umi Syafiqah yang turut memaklumkan mereka berhubung semula di media sosial pada 2018 dan Ismanira juga menjadi pengapit pada majlis perkahwinannya.

Isnin lepas, Hakim Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala Zaim Ikhwan, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 4 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan