WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pensyarah Teruja Menang Pakej Umrah Pada Kempen Anjuran Maidam

24/07/2025 05:40 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Seorang pensyarah tidak menyangka memenangi pakej umrah selepas diumumkan sebagai pemenang utama Kempen Jom Potong dan Menang Potongan Zakat Berjadual Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bermula 1 Okt 2024 hingga 30 April lepas.

Prof Dr Mohd Nordin Abdul Rahman yang bertugas di Fakulti Informatik dan Komputeran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak penganjur yang memaklumkan mengenai hadiah berkenaan.

Mohd Nordin berkata pada mulanya beliau menganggap panggilan itu daripada sindiket penipuan yang menyamar untuk memperdaya mangsa, namun selepas diperiksa memang benar beliau memenangi hadiah cabutan bertuah yang diberi kepada pembayar zakat berjadual Maidam yang dipilih secara rawak.

“Zaman sekarang ramai sangat penipu. Pada mulanya, saya memang tak percaya. Untuk mendapat kepastian, saya menelefon penganjur dan diminta menonton siaran langsung di laman sosial Facebook rasmi agensi berkenaan.

“Saya sebenarnya tak tahu sangat pasal kempen ini… cuma saya ada buat tambahan bayaran zakat baru-baru ini. Alhamdulillah tak sangka pula dapat menang hadiah yang sangat berharga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Jom Potong dan Menang Potongan Zakat Berjadual Maidam di sini hari ini.

Seorang lagi peserta yang memenangi sebuah motosikal Modenas Kriss, Muhammad Johary Yusof, 38, berkata beliau membuat pembayaran zakat secara berjadual sejak 20 tahun lepas sebagai sumbangan kepada asnaf yang memerlukan.

Muhammad Johary yang bekerja sebagai kakitangan syarikat cari gali minyak berkata pada mulanya beliau juga menyangka panggilan itu daripada sindiket penipuan, namun bersyukur apabila benar-benar memenangi hadiah berkenaan.

“Alhamdulillah rezeki saya menang motosikal. Senanglah untuk ke surau dengan isteri selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Prof Madya Datuk Dr Ahmad  Azrin Adnan berkata kempen berkenaan bertujuan menggalakkan orang ramai membuat pembayaran zakat secara berjadual.

Beliau berkata kaedah pembayaran zakat secara berjadual bukan sahaja memudahkan orang ramai tetapi membolehkan agihan dibuat secara sistematik dan menyeluruh kepada asnaf.

“Pada 2024, sebanyak 24,493 pembayar zakat menunaikan tanggungjawab melalui kaedah ini (pembayaran zakat berjadual). Kami harap melalui kempen ini lebih ramai umat Islam yang berminat membuat pembayaran zakat secara berjadual kerana manfaatnya akan diterima oleh asnaf yang memerlukan.

“Ini adalah kali keempat diadakan dan kami akan buka lagi pada Mei hingga Disember depan,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 23 pemenang berjaya memenangi hadiah cabutan bertuah keseluruhan berjumlah RM34,000 yang ditawarkan pada kempen kali ini.

Beliau berkata pada tahun ini Maidam menyasarkan kutipan zakat melebihi RM300 juta berbanding RM276 juta tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan