WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGC Bantah Permohonan Syarikat Cabar Tindakan SPRM Sita Menara Ilham

23/07/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan oleh Ilham Tower Sdn Bhd terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyitaan Menara Ilham.

Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan perkara itu semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh hari ini yang turut dihadiri peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili syarikat berkenaan.

Mahkamah kemudian mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan hujahan pada atau sebelum 13 Ogos dan hujahan balasan sekiranya ada pada 20 Ogos serta menetapkan 18 Sept ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Ilham Tower selaku pemohon memfailkan permohonan itu secara ex-parte (sebelah pihak) menerusi firma guamannya Tetuan Raj & Sach pada 23 Jun lepas.

Isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, merupakan seorang daripada pengarah syarikat Ilham Tower.

Selain SPRM, syarikat itu turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Penguasa Kanan SPRM Mohd Razi Rahhim @ Rahim, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib,  Pendakwa Raya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Dalam permohonan itu, pemohon memohon deklarasi bahawa perintah atau notis penyitaan dikeluarkan responden kedua (Ahmad Akram) terhadap pemohon pada 4 Jun 2025 mengikut Seksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 mengenai penyitaan Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai di sini, adalah terbatal dan tidak sah.

Turut dimohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan notis penyitaan tersebut berserta dengan semua keputusan atau tindakan-tindakan yang berkaitan dengannya.

Syarikat berkenaan juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan responden kedua atau pegawai, pekerja, ejennya atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh responden kedua untuk membatalkan notis penyitaan tersebut.

Selain itu, pemohon memohon perintah mahkamah agar notis penyitaan berserta semua keputusan atau tindakan berkaitan dengannya ditangguh sehingga pelupusan permohonan kebenaran semakan kehakiman selain menuntut ganti rugi dan kos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan