KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Gandingan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China apabila menewaskan rakan senegara Ong Xin Yee-Carmen Ting di Changzhou,,hari ini.
Pilihan ketiga kejohanan itu mempamerkan aksi bertenaga apabila mencatat kemenangan mudah 21-8, 21-12 dalam tempoh hanya 24 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Jelajah Super 1000.
Pasangan nombor tiga dunia itu akan menentang beregu Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara, esok selepas pasangan tersebut menewaskan gandingan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva 21-10, 21-16.
Satu lagi beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut mara selepas tidak diberi tentangan oleh pasangan Poland, Paulina Hankiewicz-Kornelia Marczak dengan kemenangan mudah 21-5, 21-6 dalam masa 22 minit.
Pei Kee-Mei Xing dijadual bertemu pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, yang sebelum itu menundukkan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-19, 21-14.
Dalam saingan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan kemaraan selepas menyingkirkan rakan sepasukan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, dengan kemenangan straight set 21-17, 21-19.
Wei Chong-Kai Wun dijangka berdepan satu lagi pertembungan 'all-Malaysian' menentang pasangan profesional Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen 21-16, 18-21, 21-14.
Sementara itu, satu lagi beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mudah melepasi halangan beregu tuan rumah Ren Xiang Yu-Sun Wen Jun menerusi kemenangan 21-17, 21-14.
Yew Sin-Ee Yi dijadual berdepan gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 18-21, 21-19, 21-18.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial