WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Beri Jaminan Sentiasa Pantau Harga Makanan Pasca Peluasan SST -- Lim

23/07/2025 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan sentiasa memantau harga barangan terutamanya makanan bagi memastikan kos sara hidup tidak meningkat susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pemantauan berterusan itu akan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari semasa ke semasa. 

Beliau berkata inflasi makanan secara purata adalah pada kadar 2.1 peratus pada Jun dan 2.4 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi nasional pada 1.1 peratus.

"Apabila melaksanakan pengembangan SST, kita memang sudah sedia dengan kesan makanan atau kos sara hidup naik, tapi KPDN akan (sentiasa) turun ke padang untuk memantau harga. 

“Ini disebabkan sasaran pengembangan itu (adalah) kita tidak mahu harga barangan, terutamanya makanan asas dinaikkan. Kita berjanji untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya kos sara hidup masih kekal dan tidak ada kenaikan, terutama harga makanan asas," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Lim menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai usaha kerajaan dalam menurunkan inflasi makanan, termasuk kesan pengembangan SST terhadap usaha kawalan harga makanan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan