KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi stardard (SOP) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keseragaman pelaksanaan perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata SOP merangkumi prosedur penguatkuasaan itu akan dikeluarkan selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Tempatan (Pindaa) 2025 di Dewan Rakyat hari ini, bertujuan memastikan penguatkuasaan lebih berkesan serta menjamin keadilan sosial terhadap semua pesalah.
Beliau berkata pegawai PBT perlu diberi pembangunan kapasiti dalam penguatkuasaan dan pemantauan terutamanya melibatkan pesalah dalam kalangan kanak-kanak.
“Mereka perlu faham sepenuhnya bukan sahaja peruntukan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) tetapi juga Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah pun diambil kira dalam pelan pelaksanaan oleh kementerian untuk memastikan penguasaan undang-undang yang berkesan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
RUU itu memperuntukkan di bawah Subseksyen 104A(1), memberikan kuasa kepada mahkamah memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan pelanggaran undang-undang kecil di bawah Akta 171 untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama tidak lebih daripada 12 jam sebagai tambahan kepada denda di bawah undang-undang kecil itu.
Selain itu, Subseksyen 104A(3) mengkehendaki mana-mana pegawai PBT yang diberi kuasa secara bertulis, untuk menentukan masa dan tempat bagi melaksanakan khidmat masyarakat selepas suatu perintah hukuman itu dibuat mahkamah di bawah Subseksyen 104A(1).
RUU itu juga memperuntukkan Subseksyen 104A(8) bahawa sekiranya kanak-kanak bawah umur 18 tahun melakukan pelanggaran mana-mana undang-undang kecil, peruntukan bagi perintah khidmat masyarakat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) adalah terpakai.
Mengulas lanjut, Nga berkata kementerian itu telah merancang beberapa strategi untuk meningkatkan keberkesanan undang-undang tersebut termasuk menambah bilangan pegawai PBT yang diberi kuasa untuk penguatkuasaan dan pemantauan.
“Selain itu, bagi membantu pembangunan kapasiti pegawai PBT, kerjasama antara agensi akan diperluas serta menambah penggunaan teknologi terkini dan pengurusan sumber yang cekap,” katanya.
Beliau turut menegaskan perintah khidmat masyarakat kepada pesalah tidak wajar disifatkan sebagai suatu hukuman bersifat perhambaan, malah Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kebebasan hak asasi, namun mana-mana kesalahan yang disabitkan oleh mahkamah tidak boleh dianggap sebagai perhambaan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial