KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kini dilengkapi Pangkalan Cawangan Kereta Peronda yang terletak di Jinjang dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi unit itu, sekali gus meningkatkan keyakinan dan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata usaha penubuhannya telah dikemukakan Ketua Polis Daerah dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul susulan kekangan tempat meletak kenderaan unit kereta peronda (MPV) dan keperluan menumpang di Balai Polis Jinjang sebelum ini.
“Melalui usaha itu, satu kajian dan pengumpulan maklumat telah dijalankan terhadap kawasan stor barang kes yang terbiar dan tidak digunakan... cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi tetap Pangkalan MPV telah dikemukakan,” katanya pada sidang media selepas perasmian pangkalan itu di Jinjang hari ini.
Beliau berkata cadangan itu diluluskan pada penghujung tahun lepas dan kerja pengubahsuaian dimulakan awal tahun ini sebelum dapat digunakan sepenuhnya oleh anggota MPV.
“Pengubahsuaian pangkalan MPV ini turut dibantu Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang menyumbang RM250,000 dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh sebanyak RM15,000 selain beberapa penyumbang lain,” katanya.
Rusdi berkata pada tahun lepas unit MPV IPD Sentul menerima 1,127 laporan polis dan menahan 1,155 individu berbanding 913 laporan dan 934 tangkapan individu pada 2023.
Beliau berkata unit MPV IPD itu juga mencatatkan beberapa kejayaan antaranya tangkapan melibatkan kegiatan curi kabel, jenayah, pengedaran dadah, kecurian kenderaan serta penganjuran program dan aktiviti bersama dengan masyarakat
Sementara itu, Lim pada sidang media sama menzahirkan harapan agar semua anggota polis di ibu kota yang bertugas di lapangan termasuk anggota rondaan dilengkapi kamera badan serta kamera papan pemuka pada kenderaan tugasan.
“Saya akan suarakan perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk perkara berkenaan dipertimbangkan bagi memberi keutamaan kepada Polis Kuala Lumpur memperoleh peranti itu.
“Hal ini kerana Kuala Lumpur mempunyai populasi yang tinggi dan pusat perniagaan yang banyak berbanding tempat lain, sekali gus mengundang lebih banyak berlaku jenayah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial