WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Apa Yang Berlaku Di Gaza "tidak Dapat Diterima"- Canselor Jerman

19/07/2025 12:42 AM

BERLIN, 18 Julai (Bernama-Anadolu) -- Canselor Jerman Friedrich Merz, pada Jumaat meneruskan kritikan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza dan menyeru gencatan senjata segera serta lebih banyak  bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu sidang media di Berlin, Merz menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Gaza dan berkata beliau sedang mengadakan perbincangan dengan pemimpin Eropah mengenai cara untuk mencapai gencatan senjata dan memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.

“Tindakan di Semenanjung Gaza tidak lagi boleh diterima oleh kami,” kata pemimpin Parti Konservatif itu. “Kami menuntut, pertamanya, gencatan senjata di sana dan kedua, bantuan kemanusiaan yang menyeluruh untuk rakyat di wilayah itu,” katanya.

Merz berkata beliau menyuarakan kebimbangan ini semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menegaskan akan meneruskan usaha diplomatik untuk menangani situasi itu.

“Saya membincangkan perkara ini semalam dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di London. Saya akan mengetengahkan isu ini sekali lagi minggu depan apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron, melawat Berlin,” kata Canselor itu.

Sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza pada 2023, hampir 59,000 rakyat Palestin  terbunuh dan lebih 100,000 yang lain cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ekoran tindakannya di Gaza, di mana sekurang-kurangnya 1.9 juta rakyat Palestin terus dipindahkan dan mengalami kekurangan bekalan makanan, perubatan, dan keperluan lain yang serius.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan