WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Beradik Ditemukan Di Tepi Jalan, Pengasuh Disiasat

19/07/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia tiga dan enam tahun ditemukan orang awam tanpa pengawasan di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi sebelum diserahkan kepada pihak polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 11.57 pagi apabila dua beradik warga tempatan itu dibawa oleh orang awam ke Balai Polis Bangi untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan baik dan telah keluar dari rumah pengasuh tanpa pengetahuan semasa pengasuh sedang tidur. Mereka ditemukan oleh orang awam tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit kemudian telah dihubungi dan hadir ke Balai Polis Bangi kira-kira 2 petang tadi, sebelum kedua-dua mangsa diserahkan semula kepada mereka dengan selamat.

Naazron berkata berikutan itu, polis telah memanggil lima individu termasuk pengasuh untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam penjagaan kanak-kanak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak yang masih di bawah umur dan tidak cuai dalam aspek penjagaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan