KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Malaysia memerlukan lebih banyak teknologi dan inovasi yang dicipta dalam negara, berbanding menghasilkan lebih banyak produk, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata tumpuan kerajaan dalam mengutamakan penglibatan tempatan dan pemindahan teknologi maju bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan keupayaan teknikal, dan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana menjadi pembekal di peringkat global.
“Apa yang kita mahukan ialah kesan limpahan yang mendorong inovasi tempatan, melahirkan jurutera dan juruteknik, menyokong institusi latihan, dan mempercepat pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
“Inilah bentuk kerjasama utuh yang sepatutnya wujud, apabila manfaatnya bukan sahaja bersifat dua hala, tetapi juga mampu merubah landskap ekonomi domestik negara tuan rumah,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Jaecoo J8 Premium Off-road First Class, hari ini.
Tengku Zafrul berkata pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan kenderaan pacuan empat roda premium baharu berkenaan, tetapi turut menjadi penanda aras penting yang melambangkan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan jenama automotif China, Chery, serta dinamisme berterusan sektor automotif negara.
Beliau berkata apabila pengguna semakin berpengetahuan dan menuntut kualiti serta inovasi lebih tinggi, pelancaran hari ini membawa mesej yang jelas bahawa Malaysia sedang muncul sebagai hab strategik bagi jenama automotif global yang ingin berinovasi, berkembang dan bersaing.
“Kita mengalu-alukan usaha Chery untuk memperkukuh kehadiran tempatan mereka melalui peningkatan kandungan tempatan, pembangunan vendor serta pemindahan kemahiran.
“Langkah ini penting dalam usaha mengubah Malaysia menjadi hab pembuatan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai tinggi bagi teknologi mobiliti generasi baharu,” katanya.
Bagi memastikan kemampanan dan kemampuan pengembangan dalam jangka panjang, beliau berkata Malaysia amat menggalakkan pemain industri automotif, terutamanya pengeluar peralatan asal (OEM), untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau strategik dengan penekanan kepada pengeluaran berorientasikan eksport.
Dalam hal ini, menurut Tengku Zafrul, Chery telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam meluaskan jejak eksportnya.
“Menyatukan pengeluaran bagi pasaran domestik dan eksport bukan sahaja meningkatkan pengembangan ekonomi, tetapi juga mengukuhkan daya saing pembekal komponen tempatan.
“Pendekatan ini turut menyokong pembentukan kluster industri baharu yang memfokuskan kepada teknologi automotif termaju, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian nilai serantau,” katanya.
Dengan ekosistem tempatan yang menyokong lebih 700,000 pekerja dan menyumbang lebih 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), beliau berkata industri automotif kekal sebagai satu daripada tonggak utama ekonomi negara.
“Seperti yang digariskan dalam Dasar Automotif Nasional 2020, sasaran kita ialah untuk menyumbang RM104.2 bilion kepada KDNK menjelang 2030.
“Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti menggerakkan rantaian nilai, melabur dalam R&D, serta membina keupayaan dalam bidang perisian, elektronik dan bahan mampan, bukan hanya tertumpu kepada pemasangan atau perdagangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial