WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penambahbaikan Sistem Kejara Di Peringkat Akhir Penelitian - KP JPJ

17/07/2025 09:51 PM

BANGI, 17 Julai (Bernama) -- Penambahbaikan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) kini di peringkat akhir penelitian oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada rombakan besar-besaran sistem Kejara seperti diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini.

“Sistem Kejara kini dalam penelitian akhir JPJ sebelum kita angkat ke peringkat Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan mengenai penambahbaikan yang akan dilaksanakan,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata penambahbaikan sistem ini akan mengambil masa kerana turut membabitkan aspek perundangan dengan pindaan kepada peruntukan tertentu.

“Pindaan kaedah akan mengambil masa kerana ia perlu pergi ke peringkat yang lebih tinggi seperti Jabatan Peguam Negara dan sebagainya,” katanya. 

Sebelum ini, Loke berkata Kejara akan dirombak secara besar-besaran tidak lama lagi kerana sistem berkenaan tidak efektif pada masa ini dan disifatkan sebagai gagal.

Sistem Kejara adalah suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya. 

Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti boleh menyebabkan kemalangan serius atau kemalangan maut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain dimasukkan di dalam senarai kesalahan di bawah pelaksanaan sistem mata demerit itu.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang terlibat kemalangan serius akan melalui proses tertentu sebelum keputusan menggantung lesen dibuat. 

"Bukan JPJ terus gantung serta-merta lesen. Notis tunjuk sebab akan dikeluarkan dahulu dan penilaian akan dibuat sama ada perlu gantung atau tidak. Pengarah JPJ negeri diberi kuasa untuk keputusan ini," katanya.

Beliau berkata lesen yang digantung itu akan membabitkan PSV serta GDL sahaja dan tidak melibatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi pemandu terlibat. 

"Setakat ini ada lima pemandu digantung PSV. Ia bukan berterusan, bukan selamanya digantung dan ada perincian serta tempohnya," katanya.

Mengenai sesi libat urus hari ini, beliau berkata JPJ memaklumkan tentang usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dengan rata-rata memberikan maklum balas positif dan meminta JPJ supaya kerap mengadakan perbincangan seperti ini.

"Saya bersama dengan pasukan saya bersetuju untuk mengadakan program ini secara berkala atas permintaan pihak industri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan