WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Terbuka Jepun: Sze Fei-Nur Izzuddin, Nur Mohd Azriyn-Wee Kiong Lepasi Halangan Pertama

15/07/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memulakan kempen mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 dengan bergaya apabila mara ke pusingan kedua di Tokyo hari ini.

Pada aksi pusingan pertama kejohanan Super 750 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan nombor satu dunia itu menewaskan gandingan Kanada Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman 21-13, 21-15 pada pertemuan pertama mereka.

Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan sama ada pasangan tuan rumah Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita atau gandingan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin pada pusingan seterusnya.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan profesional negara yang kini menduduki ranking ke-26 dunia Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Pasangan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan beregu ranking ke-18 dunia dari Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov dengan keputusan 13-21, 21-17, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam.

Nur Mohd Azriyn-Wee Kiong seterusnya akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan keempat Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard masing-masing dari Denmark.

Sementara itu, beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting gagal mencipta kejutan ke atas pasangan tuan rumah yang juga pilihan keenam kejohanan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Pasangan bukan pilihan itu memenangi set pertama 21-17, namun akhirnya tunduk 8-21, 8-21 dalam tempoh 56 minit.

Sementara itu, satu lagi beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menamatkan kempen mereka pada Terbuka Jepun selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee.

Pasangan pilihan keempat kejohanan Ha Na-So Hee hanya memerlukan 40 minit untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Pei Kee-Mei Xing dengan keputusan 21-9, 21-19.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan