WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EU Berminat Luaskan Perdagangan Dengan ASEAN - Kallas

11/07/2025 09:57 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) berhasrat untuk membangun dan mempelbagaikan portfolio perdagangan dengan ASEAN kerana kepentingan blok serantau itu semakin meningkat, kata Wakil Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Kaja Kallas.

Beliau berkata kerjasama EU-ASEAN adalah strategik terutama dalam dunia yang penuh mencabar ketika ini dan menyifatkan ia sebagai satu kerjasama keselamatan.

“EU adalah faktor kestabilan di Eropah manakala ASEAN pula di rantau ini,” katanya kepada media terpilih di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Jumaat. 

Kallas berkata EU dan ASEAN perlu bekerjasama kerana kedua-dua blok menaruh keyakinan kepada perdagangan bebas. 

“Kami (EU dan ASEAN) sepatutnya mempunyai perjanjian perdagangan bebas dan sudah tentu adalah berterusan. Ia bukan mudah tetapi saya berpendapat ia adalah penting,” katanya.  

Menurut laman sesawang rasmi EU, dialog antara EU dan ASEAN telah berlanjutan selama lebih 50 tahun dan pada Disember 2020, EU dan ASEAN menjadi Rakan Strategik sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-duanya yang terjalin sejak sekian lama. 

Bagi tempoh 2021-2027, EU telah memperuntukkan €180 juta bagi kerjasama serantau dengan ASEAN untuk membantu bidang-bidang utama selaras dengan Perkongsian Strategik EU-ASEAN.

EU dan ASEAN akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan mereka pada 2027. 

Kesatuan itu terdiri daripada 27 negara termasuk Belgium, Denmark, Finland, Hungary dan Sweden.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan telah diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai.

Acara berprofil tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan