WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Tun Daim: SPRM Kenal Pasti Aset Lebih RM3 Bilion Di 11 Negara

11/07/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti aset bernilai lebih RM3 bilion di 11 negara yang berkait dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bahagian Operasi Khas (BOK) kini sedang giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dengan fokus kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset luar biasa berkenaan.

“Sebelas negara tersebut adalah United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia, dan beberapa negara di benua Afrika, dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan siasatan dijalankan melalui kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa di UK iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).

Suruhanjaya itu juga telah memperoleh perintah halangan bagi aset di UK mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lepas terhadap tujuh aset tak alih dan alih dianggarkan bernilai RM758 juta.

“Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance - MLA) kepada pihak berkuasa UK sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara (AGC), manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya.

Selain itu, SPRM memaklumkan permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga telah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lepas, dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun lepas.

“Antara aset yang terlibat adalah empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey manakala di Singapura, 12 akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta,” menurut kenyataan itu. 

Menurut SPRM, permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di negara seperti AS, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), IACCC dan permohonan MLA melalui AGC, bagi membolehkan tindakan penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh.

“Di peringkat domestik, SPRM memperoleh perintah penyitaan Menara Ilham pada 4 Jun lepas dan tindakan sitaan dilaksanakan pada esoknya. Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun lepas,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM telah merakam keterangan Na’imah dan anaknya, Muhammed Amir Zainuddin Daim pada 14 Jun lepas berkaitan pemilikan aset-aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.

“Seterusnya, keterangan akan dirakam daripada anak kedua mereka, Muhammed Amin Zainuddin Daim, yang kini berada di UK. Ketiga-tiga individu ini merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) kepada Menara Ilham,” katanya.

Selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, Notis Pengisytiharan Harta diserahkan bermula semalam kepada 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Allahyarham Daim dan Na’imah bagi tujuan pengesanan serta pengesahan pemilikan aset.

SPRM menegaskan bahawa semua tindakan yang diambil adalah sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya itu untuk memastikan tiada unsur amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.

“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan