WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Myanmar, Timor-Leste Mulakan Perbincangan Selesaikan Perbezaan - SU Agung ASEAN

11/07/2025 06:32 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Myanmar dan Timor-Leste telah memulakan perbincangan bagi menyelesaikan perbezaan, sekali gus membuka laluan kepada penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Oktober ini, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Kao berkata terdapat perkembangan positif dalam perkara itu dan beliau yakin isu terbabit tidak akan menghalang proses penyertaan Timor-Leste.

“Myanmar dan Timor-Leste telah mengadakan perbincangan bersama, dan saya percaya kedua-dua pihak sedang menyelesaikan perbezaan antara mereka.

“Saya tidak menjangkakan sebarang masalah berkaitan penyertaan Timor-Leste (ke dalam ASEAN) yang dijadualkan pada Oktober,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut laporan media asing, pada 7 Julai, Timor-Leste telah menolak bantahan Myanmar terhadap hasratnya untuk menjadi negara anggota ke-11 ASEAN dengan menyifatkan bantahan itu sebagai  “tidak membawa sebarang kesan dan tidak relevan.”

Ia susulan surat dikemukakan Myanmar kepada ASEAN, yang secara rasmi membantah penyertaan Timor-Leste ke dalam blok serantau Asia Tenggara itu, sambil menuduh Dili melanggar prinsip blok terbabit iaitu tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain.

Surat yang ditandatangani pegawai junta Han Win Aung itu, turut menyatakan sekiranya Timor-Leste terus melakukan “pelanggaran terang-terangan” terhadap prinsip itu, ASEAN perlu “tegas menolak sebarang pertimbangan untuk memberikan keanggotaan” kepada negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kao berkata Timor-Leste sedang menunjukkan kemajuan ke arah keanggotaan penuh, setelah memenuhi beberapa syarat penting dari segi institusi dan perundangan mengikut pelan hala tuju keanggotaan penuh.

“Timor-Leste sudah membuka kedutaan di semua negara anggota ASEAN,” katanya.

ASEAN pula, katanya telah menubuhkan Unit Timor-Leste khas di dalam Sekretariat ASEAN, yang beroperasi sejak Mei lepas bagi membantu proses penyertaan negara itu.

Beliau berkata meskipun pemenuhan syarat keahlian tidak akan terhenti selepas penyertaan, sebahagian besar kriteria minimum telah dipenuhi termasuk usaha memperkukuh keupayaan negara terbabit selaras dengan proses dan rangka kerja ASEAN.

“Masih banyak perlu dilakukan kerana ASEAN pada masa ini berbeza daripada 20 tahun lepas, namun asas-asasnya sudah ada,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Myanmar yang tidak mematuhi Konsesus Lima Perkara, Kao berkata ASEAN kekal komited terhadap pendekatan keterlibatan konstruktif dan Myanmar kekal sebagai ahli penuh dalam blok serantau itu.

“Di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, kita (ASEAN) telah menyaksikan usaha yang sangat giat dalam meneruskan apa yang dilaksanakan pengerusi-pengerusi sebelum ini. Buat kali pertama, Pengerusi ASEAN telah berjaya menyatukan kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan bersama,” katanya.

Beliau turut mengesahkan empat menteri luar ASEAN, diketuai oleh Pengerusi, akan mengadakan lawatan ke Myanmar dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada strategi keterlibatan berterusan blok itu.

“Ini sesuatu yang telah dipersetujui oleh menteri-menteri luar. Saya percaya ia menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan ASEAN untuk menangani isu Myanmar secara konstruktif,” katanya.

Myanmar dikecualikan daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, dan pada masa ini hanya mempunyai pengaruh yang terhad dalam persatuan serantau itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan