KAPIT, 11 Julai (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai detik kebanggaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan semasa lawatannya ke Song baru-baru ini, kini berubah menjadi simbol kekecewaan bersama bagi komuniti di daerah itu.
Pada 2 Julai lepas, Lidam singgah seketika di Tokong Kong Ling Teng Tua Pek Kong di Batang Rahang dan merakamkan gambar sebatang pokok dabai yang tinggi dan tidak berbuah, pokok ini lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai pokok zaitun Borneo (Canarium odontophyllum) dan berkongsi gambar itu di Facebook.
“Inilah pokok dabai dari Song. Belum musim lagi… . Datanglah ke sini bila buah sudah masak nanti,” tulisnya.
Bagi penduduk Katibas, dabai bukan sekadar buah bermusim, malah melambangkan budaya, kebanggaan dan cara hidup penduduk di Song serta Ngemah yang berdekatan dan diiktiraf oleh Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak sebagai sebahagian daripada “Zon Dabai” kerana kualiti premiumnya.
Lapan hari kemudian, pokok yang menjadi simbol identiti pertanian itu ditebang oleh pekerja dipercayai daripada Majlis Daerah Kapit didakwa sebagai sebahagian kempen menebang pokok besar di kawasan bandar.
Lidam meluahkan kekecewaannya di Facebook: “Masalah ini timbul apabila anda fikir pekan ini milik anda seorang. Pokok ini sudah kami pelihara sejak bertahun-tahun. Kini lenyap selama-lamanya. Simbol Koridor Dabai untuk Song dimusnahkan. Majlis Daerah Kapit dengan tidak bertanggungjawab menebangnya.”
Tindakan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, ramai yang meluahkan kesedihan dan terkilan apabila pokok yang melambangkan identiti bandar ini ditebang tanpa rundingan.
Bagi Lim Margaret, hal ini lebih daripada sekadar pokok dabai, ia mercu tanda dan berfungsi sebagai pokok feng syui penting di sebelah tokong. Ditanam sejak bertahun dahulu oleh seorang warga tua yang telah meninggal dunia, pokok ini dianggap sebagai pelindung serta membawa tuah kepada komuniti setempat.
“Pokok itu membawa kepercayaan, memori dan penghormatan, simbol kerohanian yang kita kongsi serta hargai bersama," tulisnya.
Fienbergson Wong yang menetap di Kuching menyifatkan ia sebagai satu kerugian memandangkan Song selama ini terkenal dengan reputasi sebagai pengeluar dabai.
Sementara itu, Unggit Awan melahirkan kekesalan kerana tiada lagi peluang untuk memelihara dan mengetengahkan pokok berkenaan.
“Mereka boleh belanja beberapa ribu ringgit untuk menghiasnya dan menambah plak yang mengandungi maklumatnya. Ia boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan,” katanya.
Alex Fred Diglin pula berkata: “Mereka menyimpan ikon dabai buatan manusia di tebing sungai tetapi musnahkan pokok sebenar.”
Bagi Lidam ia bukan sekadar kehilangan landskap awam tetapi pokok itu sebahagian daripada warisan Song, lambang semula jadi kedudukannya dalam naratif pertanian Sarawak.
“Ini tidak sewajarnya berlaku. Pokok itu lebih daripada sekadar tumbuhan. Ia sebahagian daripada kisah Song dan kedudukan kita dalam Zon Dabai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial