Oleh Aishah Hani Nor Azmir
KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Dari jauh, warna kuning keemasan dengan kulit yang licin kelihatan begitu menyerlah sehingga menggamit pengunjung yang hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu untuk mendekati rerurai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengetahui tentang buah berkenaan.
Sebaik diberi peluang untuk mencuba potongan buah itu oleh petugas Jabatan Pertanian negeri, ternyata rasa buah melon manis yang menjadi ikon negeri Terengganu itu agak unik dengan aroma yang menyegarkan, rasa yang manis, dan tekstur yang rangup.
Ketua Seksyen Hortikultur Jabatan Pertanian Negeri Terengganu Mohd Yunus Mohd Isa berkata buah Melon Manis Terengganu (MMT) merupakan varieti pertama bagi keluarga rock melon, telah diumumkan sebagai buah rasmi Terengganu pada 29 Sept 2015.
Buah itu, katanya telah didaftarkan di bawah MyIPO dengan sijil pendaftaran Petunjuk Geografi, selain didaftarkan di bawah Pendaftaran Varieti Kebangsaan dengan nombor pendaftaran CM2.
Penanamannya pula adalah eksklusif dan hanya dibenarkan di Terengganu serta dikawal ketat bagi menjamin kualiti buah berkenaan.
“Pengeluaran benih dikawal dan tidak dibenarkan keluar dari Terengganu. Hal ini untuk memastikan identiti dan keaslian buah ini kekal terpelihara sebagai buah eksklusif negeri,” katanya ketika ditemui Bernama pada PMR 2025 yang berlangsung di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yunus berkata bagi menjamin kualiti benih melon manis itu, ia hanya dibekalkan oleh syarikat Green World Genetics (GWG) Sdn. Bhd, kepada dua agensi pengedar rasmi, iaitu Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan Koperasi Melon Manis Terengganu (KOPMET).
Setakat ini, berdasarkan data yang direkodkan Jabatan Pertanian negeri, terdapat 42 pengusaha melon manis aktif di seluruh negeri dengan hasil pengeluaran mencecah 1.7 tan metrik dengan pulangan bernilai RM1.73 juta untuk tahun ini.
“Kita jangkakan jumlah ini akan terus meningkat. Malah, pada 23 April setiap tahun telah diisytihar sebagai Hari Melon Manis Terengganu. Kita juga sedang giat melaksanakan promosi bagi menambah bilangan pengusaha,” katanya yang turut memaklumkan Besut dan Setiu adalah antara daerah yang aktif dalam pengusahaan tanaman itu.
Terengganu dipilih menjadi perintis dan pengeluar utama dalam memasarkan buah berkenaan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa berikutan permintaan tinggi beberapa buah negara, terutama di rantau Asia kerana khasiatnya yang kaya dengan serat, vitamin B dan C, serta beta karotena.
Reruai KPKM antara lain menampilkan Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memanfaatkan platform PMR untuk mempromosikan hasil pertanian serta produk agromakanan tempatan.
PMR 2025 Terengganu yang berlangsung tiga hari hingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran sebanyak 25,000 pengunjung, sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial