WILAYAH - TENGAH > BERITA

Insiden Kebakaran Di SMAP Kajang: Menteri Agama Sampaikan Sumbangan

11/07/2025 01:36 PM

KAJANG, 11 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyampaikan sumbangan segera RM100,000 kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang susulan insiden kebakaran yang memusnahkan sebuah bilik pejabat sekolah itu, awal pagi Khamis.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 adalah daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) manakala selebihnya disumbangkan oleh Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu kerja membaik pulih dan keperluan kecemasan lain agar proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan diteruskan tanpa gangguan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan MADANI, khususnya melalui agensi-agensi agama, sentiasa komited untuk memelihara dan memperkasa institusi pendidikan Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran.

Mohd Na’im turut bertemu kakitangan sekolah untuk memastikan dokumen penting dapat diselamatkan.

“Sedikit kesukaran tetapi insya-Allah, akan memberikan kebaikan. Mungkin ada hikmah di sebalik kesabaran warga kerja daripada pengetua, guru sampailah pelajar walaupun mungkin ada terganggu sedikit.

“Tetapi percayalah… daripada kesabaran untuk menghadapi musibah ini, Allah SWT akan memberikan ganjaran dan ganti yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah bilik pejabat di bangunan sekolah itu musnah dalam kebakaran pada awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 pagi sebelum 16 anggota bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi.

Kebakaran berjaya dikawal pada 1.58 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan