WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Cable Akan Nyahsenarai Daripada Bursa Malaysia Pada 15 Julai

10/07/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Sarawak Cable Bhd akan nyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa 15 Julai, 2025, selepas bursa menolak rayuannya untuk lanjutan tempoh bagi mengemukakan pelan penyusunan semula.

Pihak syarikat merayu supaya tarikh akhir itu dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2025, menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keputusan untuk nyahsenarai sekuriti syarikat daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) adalah selaras dengan perenggan 8.04 Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama, tambah kenyataan itu.

“Sekuriti syarikat akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Securities selepas tamat dua hari dagangan bermula daripada tarikh hari ini, iaitu pada 15 Julai, 2025,” menurut kenyataan itu.

Sekuriti tersebut akan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (Bursa Depository) oleh Sarawak Cable sebaik sahaja nyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities.

"Syarikat akan terus mengemas kini dan mengekalkan maklumat pemegang saham dalam daftar syarikat. Selepas nyahsenarai, syarikat akan terus wujud namun sebagai entiti yang tidak disenaraikan," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Sarawak Cable akan meneruskan operasi dan perniagaannya serta pelaksanaan penstrukturan semula korporat, dan para pemegang saham masih boleh diberi ganjaran berdasarkan prestasi syarikat.

“Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut dan didagangkan di Bursa Securities. Kepentingan dan hak pemegang saham masih akan dilindungi mengikut Akta Syarikat 2016," menurut kenyataan itu.

Sarawak Cable telah menimbulkan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) pada 30 Sept, 2022 berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh juruaudit luarnya mengenai daya majunya untuk terus beroperasi, selepas beberapa institusi kewangan menggantung kemudahan kredit syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan