WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jepun Perinci Visi Kerjasama ASEAN Dalam Sektor Digital, Hijau Dan Keselamatan

10/07/2025 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Jepun komited untuk meningkatkan kerjasama strategik bersama ASEAN, dengan tumpuan kepada peralihan tenaga hijau, infrastruktur digital, keterhubungan serta keamanan dan kestabilan serantau, kata Menteri Luarnya Takeshi Iwaya.

Bertemakan “Partners for Co-creation of the Economy and Society of the Future”, beliau menggariskan beberapa inisiatif utama, sambil menyatakan Jepun berhasrat menggalakkan penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga menerusi penyelarasan dasar Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) bersama ASEAN.

“Jepun juga akan menggalakkan pembangunan infrastruktur digital menerusi ‘Pelan Kerja Digital ASEAN-Jepun’ serta meningkatkan kerjasama keselamatan siber melalui Pusat Pembangunan Kapasti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun (AJCCBC),” katanya.

Iwaya berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Jepun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis, yang dipengerusikan bersama beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan. Teks ucapan beliau turut dimuat naik dalam laman web Kementerian Luar Jepun.

Bagi menyokong penyediaan dasar yang inklusif dalam teknologi baharu, Iwaya berkata Jepun akan memberi sokongan bagi penganjuran “Bengkel Penciptaan Bersama” di Thailand untuk menyepadukan perspektif ASEAN ke dalam Kit Alat Dasar Kecerdasan Buatan (AI) OECD.

Beliau berkata Tokyo komited untuk meningkatkan ketersambungan serantau menerusi inisiatif dalam bidang pengangkutan, elektrik, khususnya bagi menyokong Grid Tenaga ASEAN dan serta pertukaran modal insan di bawah Inisiatif Keterhubungan Komprehensif ASEAN-Jepun.

“Jepun turut menjalin kerjasama erat dengan ASEAN dalam pengurusan bencana, termasuk memberikan sokongan kepada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA),” katanya sambil menambah Jepun akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri Asia-Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Sendai pada 2027.

Mengenai perdagangan, Iwaya menekankan kepentingan mendukung sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan serta melakukan pembaharuan terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), di samping memperkukuh perkongsian ekonomi melalui rangka kerja seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Dengan menekankan tema “Rakan Kongsi bagi Keamanan dan Kestabilan”, beliau berkata Jepun mementingkan keselamatan maritim, usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian, serta memperkukuh kerjasama dalam keselamatan siber.

“Kami berhasrat untuk memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa berkaitan dan bersama-sama menangani isu-isu serantau serta antarabangsa,” kata Iwaya sambil menyatakan peranan Kemboja dalam usaha pembersihan sisa perang dan serta kemungkinan kerjasama dalam program pembersihan sisa perang di Ukraine.

Beliau berkata Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pula kekal sebagai platform penting, pada masa sama berharap mesyuarat peringkat menteri akan membuka ruang kepada dialog konstruktif dalam usaha memperkukuh sokongan kepada Palestin khususnya di tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Menjurus kepada strategi serantau yang lebih luas, Iwaya menekankan peranan penting ASEAN dalam merealisasikan Perkongsian Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (FOIP) serta merancakkan pertumbuhan ekonomi global. Beliau juga menegaskan sumbangan signifikan ASEAN terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.

“Jepun menyokong penuh Visi Komuniti ASEAN 2045 yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN. Di samping terus menghormati Kepusatan dan Perpaduan ASEAN, Jepun akan menyokong usaha berterusan ASEAN untuk memperkukuh integrasinya berasaskan visi tersebut,” katanya.

Iwaya berkata terdapat keserasian antara FOIP Jepun dan gagasan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), kerana kedua-duanya berkongsi prinsip asas yang sama.

“Kami ingin bekerjasama untuk memartabatkan dan melaksanakan AOIP agar dapat membawa masyarakat antarabangsa keluar daripada perpecahan menuju kerjasama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan