WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kestabilan Asia Kunci Keamanan Sejagat - Wang Yi

10/07/2025 05:16 PM

Oleh Chiang Hee Tze

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kestabilan Asia merupakan asas kepada kestabilan sejagat dan China mengutamakan ASEAN dalam diplomasi kejiranan, di tengah-tengah kebangkitan kumpulan negara Global South, kata Menteri Luar China Wang Yi.

Beliau berkata China akan terus mengamalkan prinsip kejiranan yang baik, aman, makmur dan mendukung konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan serta bekerjasama dengan ASEAN bagi memupuk nilai-nilai Asia yang mengutamakan keamanan, kerjasama, keterbukaan, dan keterangkuman.

“Dalam era perubahan global, berdepan dengan pilihan sama ada bersatu atau berpecah serta keamanan atau bergolak, kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan memperjuangkan dunia yang adil dan teratur dengan globalisasi ekonomi yang terangkum,” katanya.

Wang berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Pasca Menteri ASEAN-China yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi AMM ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata tahun ini menandakan detik penting bagi kemajuan dan pengukuhan semula ASEAN.

Wang berkata dengan mengguna pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 dan penyertaan penuh Timor-Leste yang hampir terlaksana, ASEAN sedang maju ke arah perpaduan yang lebih erat dan kekuatan bersama dalam mengatasi cabaran.

Beliau berkata tahun ini juga menandakan tahun yang membuahkan hasil bagi kerjasama antara China dan ASEAN, termasuk penyelesaian rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) 3.0, dengan protokol dijangka ditandatangani secara rasmi pada Oktober ini.

Menurut Wang, Sidang Kemuncak ASEAN-China-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kali pertama diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Mei lepas, telah merintis satu pendekatan baharu dalam kerjasama antara rantau, sekali gus menunjukkan kemajuan yang lebih kukuh dan tekad dalam mempererat kerjasama serantau.

“Kita dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan, memastikan pengurusan dan kestabilan maritim secara menyeluruh di laluan perairan itu.

“China telah memperkukuh kerjasama keselamatan dengan Myanmar, Laos, Thailand, dan rakan lain untuk bersama-sama membanteras judi dalam talian, penipuan, dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata lawatan Presiden Xi Jinping ke Vietnam, Malaysia dan Kemboja pada April lepas telah meningkatkan hubungan ke tahap yang lebih tinggi serta mempererat hubungan antara rakyat.

“Untuk dua tahun berturut-turut, kami telah melaksanakan lebih daripada 100 program pertukaran budaya dan rakyat.

“Visa Lancang-Mekong dan visa ASEAN telah dilaksanakan, sekali gus memudahkan urusan perjalanan khususnya bagi tujuan lawatan keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan