WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Johor, KKR Kerjasama Pastikan Pelaksanaan 44 Projek Sekolah Tertangguh Berjalan Lancar

09/07/2025 03:42 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memastikan 44 projek sekolah di negeri ini yang dikenal pasti tertangguh dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersedia untuk membantu mempermudah sebarang proses supaya projek berkenaan disegerakan.

"Saya juga sudah buat satu sesi setiap dua minggu untuk melihat satu persatu projek yang dikatakan tidak bermula lagi untuk memastikan ia bergerak … kita berusaha memastikan kesemua projek yang telah diluluskan dapat berjalan lancar dari segi pembangunannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Johor 2024 yang disempurnakan oleh isteri Pemangku Sultan Johor Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Aznan berkata kerajaan negeri sentiasa mendukung projek yang memberikan manfaat kepada rakyat dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan ia dilaksanakan.

"Kita akan sentiasa mempermudah (pelaksanaan projek), jadi itulah hasrat kami untuk memastikan ia berjalan dengan baik kerana hasilnya adalah untuk rakyat Johor," katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata terdapat 44 projek sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Johor dikenal pasti tertangguh termasuk pembinaan sekolah baharu serta daif.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan sebanyak 222 projek membabitkan pelbagai kemudahan yang sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lepas masih berada dalam peringkat prapelaksanaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan