WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Tinggi Tangguh Kes Bunuh Nhaveen, Tetapkan 17 Nov Untuk Sambung Bicara

08/07/2025 04:45 PM

GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan prosiding bela diri empat individu atas pertuduhan membunuh mangsa buli T. Nhaveen tujuh tahun lepas, yang sepatutnya bermula hari ini, kepada 17 hingga 25 Nov depan.

Mereka ialah J. Ragesuthan, 26, S. Gokulan, 26, dan dua lagi yang merupakan remaja ketika kejadian.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan untuk menangguh prosiding hari ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pembebasan seorang lagi tertuduh iaitu S. Gopinaath, 34, yang didakwa pada 2021.

Beliau berkata hal ini bagi mengelakkan berlaku perbicaraan berulang atau berganda yang mungkin menyebabkan semua saksi dipanggil semula dan menetapkan 22 Sept depan bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan keempat-empat individu membela diri atas pertuduhan asal iaitu membunuh Nhaveen, 18, selepas membenarkan permohonan pendakwaan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka pada 23 Okt 2023.

Mahkamah turut memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan Nhaveen iaitu T. Previin yang berusia 19 tahun ketika kejadian.

Kes itu telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membolehkan keempat-empat lelaki membela diri selain mengekalkan pembebasan Gopinaath, yang didakwa empat tahun selepas kejadian.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.

Bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Previin, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.

Mengikut fakta kes, Nhaveen dipukul dengan topi keledar dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang tetapi meninggal dunia enam hari kemudian iaitu pada 15 Jun 2017.

Pada prosiding hari ini, Mohd Amril Johari dan Yazid hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Maanveer Singh Dhillon dan R. Thevan mewakili keempat-empat tertuduh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan