WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Di KL Dijangka Paling Besar Dalam Sejarah

08/07/2025 10:09 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 8 Julai (Bernama) – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata beberapa ketua kerajaan dari luar ASEAN telah mengesahkan kehadiran mereka ke sidang berkenaan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt nanti.

Antara pemimpin yang telah mengesahkan kehadiran termasuk Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, yang ditemui Anwar di Rom pada 3 Julai, dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

Anwar berkata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, yang kini memegang jawatan Presiden Kumpulan G20, juga telah menyatakan hasrat untuk hadir.

Perdana Menteri yang berada di Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17, berkata Perdana Menteri baharu Kanada Mark Carney, turut mengesahkan kehadiran beliau

"Ini menggambarkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN Oktober nanti berkemungkinan menjadi lebih meriah berbanding penganjuran sebelum ini, bukan sahaja melibatkan negara ASEAN dan rakan tetap seperti Jepun, Korea Selatan dan China, malah turut disertai ramai pemimpin luar yang lain," kata Anwar.

"Saya percaya ia akan menjadi satu tanggungjawab besar... Insya-Allah, kita dapat memikulnya bersama-sama," katanya pada sidang media semasa mengakhiri lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil yang bermula pada 1 Julai lepas.

Ketika ini, 10 negara anggota ASEAN ialah Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.

Selain negara anggota, antara rakan luar yang lazimnya menghadiri sidang kemuncak ASEAN ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Ketika berucap pada Forum Perniagaan BRICS di sini pada 5 Julai lepas, Lula da Silva secara rasmi mengesahkan kehadiran beliau ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau turut menggesa para usahawan Brazil supaya bersedia menyertai sidang itu, yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperluas kerjasama perniagaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei lalu turut menampilkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang diadakan buat pertama kali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan