WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerja Lapangan Projek Jalan Sabah-Kalimantan Giat Dilaksanakan - Shahelmy

07/07/2025 12:43 PM

KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Kerja lapangan termasuk kerja ukur tanah, pemetaan utiliti dan penyiasatan tanah giat dilaksanakan bagi pembinaan jalan yang menghubungkan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata projek itu melibatkan jajaran khusus iaitu Projek Membina Jalan Baharu Dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia-Indonesia di Simanggaris.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah meluluskan kajian awalan dan reka bentuk bagi projek itu di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3 RMK12).

“Jajaran ini meliputi pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan jalan sedia ada iaitu Jalan Sapulut - Kalabakan, ke sempadan Malaysia - Indonesia sepanjang 28 kilometer.

“Ia termasuk membina satu jalan spur (jalan bercabang dari jalan utama) menghubungkan Kampung Serudong Laut sepanjang 20 kilometer,” katanya.

Shahelmy menjawab soalan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) yang ingin tahu bilangan jajaran jalan Sabah ke Kalimantan yang dicadangkan dan status projek terlibat berikutan Indonesia sudah mula memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan pada Persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat satu lagi cadangan jalan raya iaitu jajaran Pekan Pagalungan menuju ke sempadan Indonesia di Pekan Bantul, Kalimantan telah diluluskan dalam RP3 RMK12.

“Projek ini di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan sekarang dalam proses perolehan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Yusof yang bertanya tentang jajaran jalan ke sempadan Indonesia melibatkan kawasan Sindumin dan Long Pasia, Shahelmey berkata cadangan melibatkan kawasan pedalaman bawah di pantai barat Sabah itu akan dinilai berdasarkan keperluan.

“Jajaran dicadangkan itu agak jauh ke kawasan Kalimantan berbanding yang sedang kita laksanakan, mungkin jajaran lebih sesuai di kawasan itu untuk Sarawak seperti Ba’kelalan atau Long Bawang.

“Mungkin itu kita pertimbangkan dalam projek Sabah-Sarawak Link Road, buat masa ini belum ada rujukan pintu masuk untuk Sabah dalam projek ini, kita boleh pertimbangkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan