WILAYAH - SABAH > BERITA

Kutipan Interim Sabah Meningkat Hasil Kerjasama Erat Kerajaan Negeri Dan Persekutuan

07/07/2025 06:38 PM

KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan membolehkan kutipan bayaran interim Sabah bagi Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan terus meningkat daripada RM26 juta kepada RM125.6 juta pada 2022, sebelum bertambah kepada RM306 juta tahun lepas dan RM600 juta tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata ia adalah langkah ke hadapan yang wajar diperkasakan agar keberhasilan ke atas hak-hak Sabah dan keperluan pembangunan dapat terus dijayakan.

“Saya harus merekodkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ini usaha yang dipelopori oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam mendapatkan kutipan hasil yang lebih tinggi termasuk pembayaran interim ke atas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang meningkat setiap tahun,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi  berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 dalam persidangan DUN Sabah hari ini.

Ahli Parlimen Penampang itu juga berkata pembentangan RUU itu melibatkan belanjawan sebanyak RM1.186 bilion, merupakan tertinggi dalam sejarah DUN Sabah, dan apabila ditambah dengan Belanjawan 2025 yang diluluskan November lepas sebanyak RM6.421 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan belanjawan tahun ini RM7.607 bilion.

Beliau berkata melalui RUU itu, memperlihatkan keperluan belanja mengurus dan pembangunan yang besar di Sabah selain kedudukan kewangan kerajaan negeri yang kukuh untuk memenuhi keseluruhan belanjawan.

Ewon berkata dalam belanjawan itu, RM11 juta diperuntukkan untuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajar serta pembangunan modal insan anak-anak Sabah termasuk pemberian 35 biasiswa kepada pelajar negeri itu di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

“Dalam belanjawan ini juga, sebanyak RM150 juta diperlukan untuk membayar kontrak penyelenggaraan jalan raya dan jambatan negeri Sabah,” katanya yang turut berharap DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang juga menerima limpahan pelaksanaan Belanjawan Tambahan Sabah 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan