WILAYAH - UTARA > BERITA

PBBPP Sahkan Haiwan Mati Diracun Di Bukit Bendera, JPVPP Jalankan Siasatan

06/07/2025 07:59 PM

GEORGE TOWN, 6 Julai (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan terdapat beberapa kes meracun haiwan dengan sengaja di kawasan Bukit Bendera sehingga menyebabkan kematian.

PBBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan haiwan seperti anjing, kucing dan juga burung ditemui mati dipercayai termakan makanan beracun di atas kawasan bukit itu.

“Tindakan kejam itu tidak berperikemanusiaan dan menimbulkan risiko serius kepada ekosistem, keselamatan awam dan imej Bukit Bendera.

“Menggunakan racun untuk menghapuskan haiwan terbiar tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan dan boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan penjara sehingga 3 tahun dan, atau dengan denda,” menurut kenyataan di laman Facebook PBBPP hari ini.

Sehubungan itu, perbadanan berkenaan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya di e-mel inquiries@penanghill.gov.my.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr Saira Banu Mohamed Rejab mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu pagi tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan