IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menghalang langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil pemain import baharu bagi memperkukuh pasukan Perak FA menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025–2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata keputusan pengambilan pemain import itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan PAFA.
“Pengurusan pasukan sedang mengenal pasti beberapa pemain import yang sesuai dengan sistem permainan serta tawaran gaji yang ditetapkan. Sudah tentu PAFA akan memilih pemain terbaik untuk memperkuat pasukan.
“PAFA juga berhasrat melihat pasukan Perak FA berjaya dalam Liga A1 dan seterusnya kembali ke kancah Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Sukan Ukur SeMalaysia (PESUMA) ke-35 anjuran Majlis Sukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di Stadium Azlan Shah, di sini semalam.
Terdahulu, Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata seramai 24 pemain telah menerima surat tawaran menyertai pasukan Perak FA bagi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025–2026 dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Beliau berkata PAFA masih dalam proses mencari pemain import dan mempunyai tempoh sehingga Ogos depan untuk melengkapkan senarai penuh 30 pemain
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial