WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Muhammad Arif Afifuddin Tekad Pertahan Emas Sukan Asia 2026

05/07/2025 04:24 PM

GEORGE TOWN, 5 Julai  (Bernama) -- Meskipun baru selesai menjalani pembedahan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), atlet karate negara Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik tetap bersemangat untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Pemenang pingat emas acara kumite bawah 84 kilogram lelaki pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China itu kini giat menjalani proses pemulihan dan yakin mampu membuat kemunculan semula yang lebih kuat dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Saya mengalami kecederaan ACL pada Kejohanan K1 Series A di Salzburg, Austria selepas dijatuhkan pada pusingan pertama awal tahun ini dan sekarang baru habis pembedahan.

“Kini, saya fokus kepada fisioterapi serta rehabilitasi. Insya-Allah, saya akan kembali lebih kuat tahun depan,” katanya kepada Bernama pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 di Amari Food Gallery dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, atlet berusia 26 tahun berkenaan dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 dan menerima piala serta wang tunai RM4,000, yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Muhammad Arif Afifuddin menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih besar dan berprestij di peringkat antarabangsa.

“Saya tidak pernah menyangka akan terpilih sebagai olahragawan negeri kerana sebelum ini pernah dicalonkan tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah tahun ini saya dapat. Saya bersyukur dan berasa sangat gembira,” katanya.

Atlet berketinggian 1.83 meter itu juga menyatakan hasratnya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan atau sains sukan pada masa hadapan.

Untuk rekod, Muhammad Arif Afifuddin mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2022 selepas menewaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan 10-4 pada final.

Terdahulu, pemenang emas bagi acara catur pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Chua Jia Tien pula dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Pulau Pinang 2023/2024 dan ayahnya mewakili beliau untuk menerima anugerah berkenaan.

Sementara itu, Gooi berkata penyampaian insentif pada tahun ini melibatkan 12 kategori anugerah utama sukan negeri termasuk penambahan satu kategori baharu yang diperkenalkan buat julung kalinya iaitu Anugerah Kecemerlangan Sukan Orang Pekak.

Beliau berkata ia dikhaskan untuk komuniti sukan orang pekak di Pulau Mutiara itu dan penambahan anugerah terulung berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf pencapaian atlet daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal, sekali gus menyemai semangat inklusif dalam pembangunan sukan negeri.

“Insentif ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri atas usaha gigih dan komitmen berterusan atlet, penggerak serta semua warga sukan negeri dalam mengangkat martabat sukan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen negeri yang berjaya meraih 41 pingat emas, 45 perak dan 53 gangsa, sekali gus memperoleh tempat keempat keseluruhan pada SUKMA 2024 di Sarawak, yang menunjukkan peningkatan 39 peratus berbanding temasya terdahulu yang terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh.

Pemenang pingat emas bagi acara catur Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-10 tahun lepas Loo Pin Xie, 20, menerima Anugerah Kecemerlangan Sukan Orang Pekak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan