WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hamas Sambut Baik Cadangan Pelan Gencatan Senjata Baharu – Laporan

04/07/2025 05:52 PM

MOSCOW, 4 Julai (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Pergerakan Hamas menyambut baik cadangan pelan perjanjian gencatan senjata baharu dengan Israel yang turut merangkumi perjanjian pembebasan tawanan, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik portal Ynet dan sumber yang mengetahui perkara itu.

Pada Rabu, Hamas memaklumkan sedang mengadakan rundingan bagi membincangkan cadangan daripada pihak perantara yang bertujuan mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza. Pergerakan itu menyatakan pihak perantara sedang berusaha untuk mencapai “perjanjian kerangka dan memulakan rundingan serius.”

Menurut laporan Ynet pada Khamis malam, Hamas memberikan maklum balas positif kepada Qatar mengenai pelan baharu itu yang pada peringkat awal merangkumi gencatan senjata selama 60 hari dengan pembebasan 10 tawanan hidup dan 18 tawanan yang telah meninggal dunia. Bagaimanapun, kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

Pada 18 Mac, Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza dengan alasan Hamas menolak rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan gencatan senjata yang tamat pada 1 Mac.

Pada 30 Jun, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty berkata bahawa Kaherah bersama pihak perantara lain sedang berusaha untuk memeterai gencatan senjata selama 60 hari di Semenanjung Gaza dan pembebasan beberapa tebusan Israel. Presiden AS Donald Trump pada Selasa memaklumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan syarat gencatan senjata itu.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan