SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan dua anak kandung di bawah jagaannya yang mempunyai masalah penglihatan dan autisme ringan, di sebuah rumah tanpa pengawasan.
Thaha Abdul Latef, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Untuk pertuduhan pertama, Thaha didakwa sebagai seorang bapa telah meninggalkan anak lelakinya berusia 10 tahun di sebuah rumah di Elmina Valley, Seksyen U16, Shah Alam pada 15 Mac lepas tanpa menyediakan apa-apa persediaan bagi pemeliharaan dan pengawasan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuannya yang berusia 12 tahun di tempat dan tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 33 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal, manakala Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff mewakili tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial