WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih Yinson Susut Kepada RM115 Juta Bagi Suku Pertama

30/06/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir pada 30 April, 2025 susut kepada RM115.0 juta daripada RM203.0 juta yang dicatatkan semasa suku sama tahun kewangan 2025.

Perolehan pula berkurangan kepada RM1.23 bilion daripada RM2.21 bilion bagi tempoh yang sama, menurut Yinson dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Prestasi itu disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC), sejajar dengan kemajuan kerja pembinaan, serta kos pentadbiran yang lebih tinggi apabila syarikat beralih daripada fasa pelaburan yang besar kepada fasa operasi yang lebih aktif,” jelasnya.

Mengenai prospek syarikat, Yinson menjelaskan permintaan global terhadap tenaga bersih, harga berpatutan dan stabil terus meningkat, menyokong pertumbuhan merentas semua unit perniagaannya.

Menurut syarikat itu, pasaran pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) terus menunjukkan permintaan kukuh untuk kontraktor seperti Yinson, yang mempunyai kelebihan dalam teknologi pengurangan pelepasan karbon dan rekod prestasi yang kukuh dalam penghantaran tepat pada masanya, keselamatan dan prestasi operasi.

“Permintaan FPSO kekal positif, didorong oleh peningkatan bilangan projek yang diluluskan di seluruh dunia, terutamanya di Brazil, yang kini merupakan pusat permintaan FPSO terbesar, diikuti oleh Afrika Barat,” tambahnya.

Dalam kenyataan berasingan, Yinson mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak dua sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan