PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata Seksyen 9(5) PAA adalah tidak berperlembagaan, kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) yang dibaca bersama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami mendapati subseksyen 9(5) tidak digubal secara sah di bawah Perkara 10(2)(b) dan ia tidak boleh dianggap sebagai sekatan yang sah terhadap hak yang dijamin kepada semua warganegara oleh Perkara 10(2)(b).
“Oleh itu, subseksyen 9(5) melanggar hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b) dan mesti dibatalkan sebagai tidak sah dan terbatal di bawah Perkara 4(1),” kata Hakim Tengku Maimun.
Keputusan ini dibuat susulan cabaran perlembagaan terhadap hukuman di bawah Seksyen 9(5) PAA oleh bekas Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, yang didakwa pada tahun 2022 kerana gagal memaklumkan kepada polis daerah Dang Wangi lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berkaitan isu perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Hakim lain yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang, serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan kes Amir Hariri itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diselesaikan secara adil dan segera.
Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Amir untuk merujuk dua persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan terhadapnya kerana menganjurkan perhimpunan pada tahun 2022.
Persoalan tersebut menyentuh sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 melanggar hak kebebasan berhimpun seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Beliau didakwa, selaku penganjur perhimpunan, kerana gagal memaklumkan kepada polis daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan yang berlangsung pada 14 Ogos 2022.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial