WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Bukit Aman, KL Kerjasama Kesan Suspek Kes Tembakan Di Brickfields, Cheras

27/06/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kuala Lumpur sedang bekerjasama bagi mengesan suspek yang dikaitkan dengan dua kes tembakan berasingan di Brickfields dan Cheras, di sini, baru-baru ini yang mengorbankan dua individu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata siasatan terhadap kedua-dua kes masih diteruskan.

Katanya bagi kes di Cheras, siasatan turut melibatkan semakan motif kejadian bersama JSJ Kontinjen Sarawak.

“Fotofit tidak dapat dijalankan oleh saksi yang berada di kedua-dua lokasi kejadian kerana suspek dalam kes Cheras memakai topeng muka, manakala suspek di Brickfields memakai topi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki menaiki motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki yang sedang makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, menyebabkan seorang maut dan dua lagi cedera dalam kejadian kira-kira 10.50 malam, 13 Jun lepas.

Sementara itu pada 16 Jun, seorang lelaki maut akibat ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew, Cheras. Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan